Tuesday, July 7, 2015

LAILATUL QADR

Alhamdulillah, segala pujian hanya untuk Allah SWT. Saat ini kita berada pada 10 malam terakhir bulan yang penuh baraqah, Ramadhan al-Mubaraq. Dengan bersandarkan beberapa hadis para ulama umumnya berpendapat bahawa Malam Lailatul Qadr berlaku pada 10 malam terakhir tersebut terutama pada malam-malam yang ganjil bilangannya iaitu samada malam ke-21, 23, 25, 27 dan 29, seperti hadis-hadis berikut: 

(1) Daripada Aisya R.Anha katanya, Rasulullah SAW biasa melakukan i'tiqaf pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan dan bersabda, 

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
"Carilah Malam Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan." -(HR. Bukhari)

(2) Daripada Mu'awiyah Bin Abu Sufyan, katanya Rasulullah SAW bersabda:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ
Lailatul Qadr ialah pada malam ke-27 (bulan Ramadhan). - (HR. Abi Dawud)

(3) Daripada Salim bahawa ayahnya memberitahu seorang laki-laki telah bermimpi bertemu Lailatul Qadr pada malam ke 27 (bulan Ramadhan). Lalu Rasulullah SAW bersabda:
أَرَى رُؤْيَاكُمْ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ فَاطْلُبُوهَا فِي الْوِتْرِ مِنْهَا
Aku melihat bahawa mimpimu itu sesuai berkenaan 10 malam terakhir (bulan Ramadhan). Maka carilah ia pada bilangan-bilangan yang ganjil (10 malam tersebut). - (HR. Muslim)

(4) Daripada Ibnu Abbas katanya Rasulullah SAW bersabda;
الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي تَاسِعَةٍ تَبْقَى، فِي سَابِعَةٍ تَبْقَى، فِي خَامِسَةٍ تَبْقَى
Carilah Malam Lailatul Qadr pada 10 malam terakhir Ramadhan, iaitu 9 atau 7 atau 5 malam terakhir daripada 10 malam terakhir Ramadahan (iaitu, malam ke 21, 23 dan 25). - (HR. Bukhari)

(5) Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda;
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي السَّبْعِ الأَوَاخِرِ
Carilah Lailatul Qadr pada tujuh yang akhir (bulan Ramadhan) - (HR. Muslim)

Malam Lailatul Qadr dan Al-Qur'an
Allah SWT menurunkan al-Qur'an pada waktu Lailatul Qadr, iaitu suatu malam yang penuh baraqah sebagaimana firman-Nya:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. (Ad-Dukhaan:3)

Itulah malam al-Qadr yang ada pada bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah SWT: 
 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
 Maksudnya: Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran (Al-Baqarah : 185)

Kelebihan Malam Lailatul Qadr
Adapun kelebihan Malam Lailatul Qadr adalah seperti yang boleh difahami pada hadis berikut:

Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Barangsiapa yang melaksanakan shaum Ramadhan karena iman kepada Allah dan mengharapkan pahala (hanya dariNya) maka akan diampuni dosa-dosa yang telah dikerjakannya, dan barangsiapa yang menegakkan lailatul qadar karena iman kepada Allah dan mengharapkan pahala (hanya dariNya) maka akan diampuni dosa-dosa yang telah dikerjakannya. - (HR. Bukhari)

Disunnatkan memperbanyak Doa Memohon Keampunan
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abdullah Bin Buraidah bahawa Aisya R.Anha bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah, jika aku mendapati Lailatul Qadr, apakah doa yang sebaik-baiknya aku panjatkan?" Baginda menjawab: Berdoalah:
اللّٰهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَعْفُ عَنِّى
ALLAAHUMMA INNAKA 'AFUWWUN TUHIBBUL 'AFWA FA'FU 'ANNIY
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Yang menyukai maaf, maka berilah kemaafan kepadaku.

Rujukan:
(1) "Tafsir Ibnu Katsir" (Terjemahan), Pustaka Imam Asy-Syafi'i, Bogor (2004)
(2) Kitab-kitab hadis seperti yang dinyatakan pada petikan hadis berkenaan.



No comments:

Post a Comment