Wednesday, July 1, 2015

TAKBIR HARI RAYA

Insya Allah hanya beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya 'Ied-al-Fitr. Antara amalan yang dianjurkan ialah bertakbir. Waktunya ialah sebaik sahaja berakhirnya Ramadhan atau masuk waktu maghrib pada 1 haribulan Syawal dan berakhir ketika imam selesai dari khutbah hari raya.

Sebilangan besar umat Islam di Malaysia, baik dewasa mahupun kanak-kanak hafal dan boleh mengalunkan takbir hari raya. Ini adalah kerana di negara ini takbir hari raya akan kedengaran berkumandang di sana-sini, terutama di corong radio dan kaca televisyen setiap kali tiba Hari Raya 'Ied-al-Fitri juga 'Ied-al-Adha. Sayangnya kebanyakan menghafalnya bersumberkan "audio" semata-mata. Di kaca tv, kadangkala disertakan tulisan bacaan takbir itu tetapi masih tidak begitu ramai yang memerhatikannya. 

Mungkin disebabkan cara kita di negara ini mengalunkan takbir itu dengan syahdu dan sangat sedap kedengaran maka ramai seakan menganggap takbir hari raya itu sama seperti dendangan qasidah atau lagu. Oleh itu ramai yang tidak peka atau ambil berat akan cara sebutan bait-bait dalam ayat-ayat takbir itu. Akibatnya sering berlaku kesalahan ketika mengumandangkan takbir hari raya, termasuklah oleh kalangan "pemimpin-pemimpin takbir" pada malam hari raya di masjid atau surau, juga ketika mengalunkannya di tempat-tempat menunaikan solat 'ied.

Berikut dinukilkan lafaz takbir hari raya beserta terjemahannya:


اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ، لآ إِلٰهَ إِلاَّ اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْد
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar dan bagi Allah sahaja segala pujian

Rangkap ini mula-mula dibaca oleh orang yang memimpin takbir kemudian diikuti oleh orang ramai dengan bacaan yang sama. Cara itu dilakukan sebanyak 3 kali, kemudian orang yang memimpin takbir meneruskan ke rangkap berikutnya seperti di bawah ini.


اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللّٰهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلًا
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Allah Maha Besar, sungguh Besar, dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

dan meneruskan ke rangkap berikut:

لَآ إِلٰهَ إِلاَّ اللّٰهُ وَلَا نَعْبُدُ إِلَّآ إِيَّاهُ، مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ، وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ

Tiada Tuhan melainkan Allah dan kami tidak menyembah selain Dia, dengan penuh keikhllasan memurnikan agamanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.

Perlu diingat bahawa perkataan akhir pada rangkap tersebut ialah  الْكَافِرُوْنَ dan janganlah hendaknya ditukar atau ditokok tambah sebagaimana yang biasa kita dengar ada yang menukarnya kepada الْمُشْرِكُوْنَ atau الْمُنَافِقُوْنَ, bahkan ada yang menambah:
وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ، وَلَوْ كَرِهَ الْمُنَافِقُوْنَ

Orang yang memimpin takbir boleh juga ke rangkap berikut terlebih dahulu sebelum rangkap di atas:

لَآ إِلٰهَ إِلاَّ اللّٰهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ 
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Esa, Dia menepati segala janji-Nya dan menolong hamba-Nya, dan memuliakan tentera-Nya, dan menghancurkan musuh-Nya bersendirian

seterusnya:

لآ إِلٰهَ إِلاَّ اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Tiada tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar dan bagi Allah sahaja segala pujian

diikuti oleh orang ramai dengan lafaz;

اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ اللّٰهُ أَكْبَرُ، لآ إِلٰهَ إِلاَّ اللّٰهُ وَاللّٰهُ أَكْبَرُ، اللّٰهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْد
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar dan bagi Allah sahaja segala pujian


Lafaz Takbir Hari Raya dan terjemahannya yang berikut adalah dalam bentuk jpg. Anda boleh download dengan cara "right-click" pada imej dan pilih "save image as", seterusnya menaip nama imej tersebut pada folder pilihan anda. 


Bimbingan cara bertakbir yang baik oleh Ustaz Rosli Md Zain boleh diikuti pada klip video berikut:


15 Ramadhan 1436H

1 comment: